LOKASI MENARIK DI PULAU JEJU
1. Yongmeori Coast
Yongmeori Coast merupakan tebing tinggi di sepanjang
laluan tepi laut. Tebing dengan jaluran semula jadi di permukaannya ini terhasil
daripada hakisan angin sejak ribuan tahun hingga membentuk tebing yang curam
dan berjalur, menjadikan kawasan ini lokasi yang digemari oleh pencinta alam
semula jadi.
Para pelawat berpeluang untuk melihat Duyung Pulau
Jeju yang dikenali juga sebagai ‘Haenyo’ yang menjual hasil tangkapan mereka
seperti gamat, sotong dan hasil laut di sepanjang pesisir pantai di sini. Walau bagaimana
pun, kawasan ini ditutup kepada pelawat sewaktu cuaca buruk dan ketika air
pasang.
2. Hallasan Mountain
Gunung
Hallasan terbentuk daripada letusan volcano di Pulau Jeju dan sering dianggap
mewakili pulau itu sendiri. Di kalangan masyarakat tempatan ‘Hallasan’ adalah
Jeju dan Jeju adalah ‘Hallasan’.
Merupakan
gunung tertinggi di Korea Selatan, terdapat 368 gunung-gunang yang lebih kecil
dan rendah di sekeliling Gunung Hallasan yang dipanggil Oreums (puncak gunung).
Lawatan ke
sini adalah percuma dan tiada bayaran masuk dikenakan kepada para pendaki di
gunung ini. Walaubagaimanapun, pendakian di Gunung Hallasan hanya dibenarkan
pada siang hari dan pendaki dikehendaki turun semula sebelum matahari terbenam.
Meskipun
Gunung Hallasan yang setinggi 1950m adalah yang tertinggi di Korea, ia adalah
gunung yang mudah untuk didaki. Kebanyakan pendaki berjaya sampai ke puncak dan
turun semula dalam masa sehari. Para pendaki akan dihidangkan dengan
pemandangan tasik daripada kawah gunung dan pemandangan di sekitar pulau Jeju
yang menakjubkan dari puncak gunung ini.
3. Sanbangsan
Gunung
Sanbangsan terbentuk daripada aktiviti letusan gunung berapi aktif pada
kira-kira 700,000 hingga 800,000 tahun dahulu.
Makna bagi
‘Sanbang’ itu sendiri bermaksud gua dia dalam gunung kerana di gunung ini
terdapat gua yang terletak pada ketinggian 150 daripada aras laut selain
menyajikan pemandangan yang indah.
Penanaman
bawang putih dan bawang merah dijalankan secara meluas di sekitar pergunungan
Sanbangsan.
4. Seopjkoji
Seopjkoji
merupakan teluk yang terletak di sebelah timur Pulau Jeju, berhampiran dengan
Seongsan Ilchulbong dan Pulau Udo.
Seopjikoji
menyajikan pemandangan yang indah di sepanjang pesisir pantai di sini terutama
di musim bunga. Berbeda dengan kawasan teluk lain di Pulau Jeju, Seopjikoji
terbentuk daripada debu gunung berapi berwarna merah yang dipanggil ‘songyi’.
Seopjikoji
telah dijadikan antara lokasi kegemaran bagi penggambaran drama dan filem Korea
antaranya drama popular Korea ‘All-in’.
5. Seongsan Ilchulbong
Juga dikenali
sebagai Seongsan Sunrise Peak, lokasi ini telah diiktiraf antara 7 keajaiban
dunia dan merupakan tapak warisan pertama di Korea yang di iktiraf UNESCO
bersama dengan Manjanggul Lava Tunnel.
Seongsan
Ilchulbong muncul di permukaan lautan selepas letusan gunung berapi lebih
100,000 tahun dahulu. Terletak di hujung timur Pulau Jejudo, terdapat kawah
yang besar di puncak gunung Seongsan Ilchulbong Peak.
Keluasan kawah
adalah 600m lebar dan 90m tinggi. Dikelilingi oleh 99 batu tajam di sekitarnya
menjadikan kawah ini kelihatan seperti mahkota semulajadi yang menarik.
6. Sangumburi Crater
Sangumburi
adalah satu lagi kawah yang terbentuk dari letusan volcano. Tidak seperti
Hallasan dan Songsan Ilchulbong, Sangumburi meletus dengan pantas tetapi tidak
mengeluarkan lava dan debu yang banyak. Pembentukan kon juga adalah kurang di
sekelilingnya.
Fenomena ini
digelar maru di Korea dan Sangumburi adalah
satu-satunya yang terdapat di negara ini. Masa terbaik untuk mengunjungi lokasi
ini adalah di musim musim luruh dan musim sejuk. Bayaran masuk ke sini adalah
6000won.
7.
Jusangjeolli Columnar Daepo
Jusangjeolli
Cliffs terbentuk antara 250,000 ke 140,000 tahun lalu apabila gunung berapi
Hallasan masih aktif.
Menurut ahli
kaji bumi, sewaktu tempoh Pleistocene Period (Pleistocene Period), cecair lava
yang mengalir daripada gunung yang sedang meletus telah meluncur ke laut.
Sebaik saja lava ini menyentuh permukaan air yang sejuk, ia menjadi keras dan
membeku.
Apa yang
menarik tentang batu-batuan di sini adalah bentuk heksagon yang hampir sempurna
di setiap sudut seperti ditempa dengan tangan. Malahan bentuk heksagon di
Giant’s Causeway di Utara Ireland juga tidak sesempurna bentuk heksagon yang
terdapat di sini.
8. Cheonjeyeon Waterfall
Tak jauh
daripada Jusangjeolli Cliff terdapat air terjun yang terkenal di Pulau Jeju
iaitu Cheonjeyeon Waterfall.
Merupakan air
terjun 3 tingkat yang terletak di Jungmun, tingkat pertama daripada air terjun
ini mengalir daripada bumbung gua. Meskipun kelihatan cetek, kedalaman air di
sini adalah 22 meter. Oleh itu para pelawat tidak dibenarkan untuk berenang di
air terjun ini.
9. Manjanggul Cave
Manjanggul
Cave merupakan terowong lava paling menarik di dunia. Terbentuk sejak 2.5 juta
tahun dahulu, terowong ini kaya dengan berbagai bentuk batuan seperti stalagmite yang panjang dan lorong yang terbentuk
daripada lava letusan gunung berapi.
Panjang
terowong ini adalah 14,422m. Namun begitu hanya 1km daripadanya dibuka kepada
para pelawat. Terdapat satu gua di sini yang mana di dalamnya terdapat seketul
batu berbentuk penyu (Turtle
Stone) yang berbentuk seperti Pulau Jeju.
Pelawat
dinasihatkan membawa baju sejuk sewaktu berkunjung ke sini kerana suhu di dalam
terowong yang rendah dan sejuk. Pemakaian kasut yang sesuai juga penting bagi
mengelakkan anda terjatuh sewaktu meneroka terowong yang licin dan gelap.
10. Woljeong Beach
Pantai
Woljeong merupakan salah satu daripada pantai yang berpasir putih bersih di
Pulau Jeju. Kunjungan ke pantai ini pada ketika matahari memancar terang
memberikan pemandangan menarik terutama kepada warna air laut.
Menghidangkan
pemandangan menarik terutama bagi mereka yang gemar mengambil gambar, di pantai
ini juga terdapat banyak café di sepanjang jalan pesisir pantai. Dari pantai
ini anda akan dapat melihat kincir angin dan pemandangan kawasan luar bandar
yang menarik.
Oleh: Ari Suryati